Assalammualaikum,
Saudara saudari pembaca yang dihormati sekalian. Kita tentu pernah mendengar ibu bapa mempertikaikan pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) kerana tidak mengikut arus semasa dengan memperkenalkan pelajaran yang berkaitan STEM dan TVET di sekolah harian KPM. Andaian ibubapa bahawa KPM tidak pernah mengambil berat tentang TVET dan STEM di sekolah-sekolah harian adalah satu andaian yang tersasar jauh kerana sebenarnya pelajaran STEM dan TVET telah lama diperkenalkan disekolah-sekolah harian.
Pada waktu yang terkini pelbagai mata pelajaran dan peralatan telah diperkenalkan di sekolah-sekolah harian biasa, diantaranya lukisan kejuruteraan, lukisan terbantu komputer, mata pelajaran sains dan teknologi, robotik, programing dan pelbagai yang lain sehingga ada sekolah yang diklasifikasikan sebagai sekolah RK (rekacipta) dan sekolah MC (manufacturing centre). Mata pelajaran yang disebutkan tentunya tidak wujud disekolah biasa 20 atau 30 tahun dahulu.
Bukan sahaja pelajaran dalam kelas tetapi juga peralatan yang bernilai ribuan malah ratusan ribu ringgit juga telah dibekalkan untuk kegunaan sekolah-sekolah terlibat. Kesediaan KPM melabur jutaan ringgit bagi meningkatkan pengetahuan teknologi di sekolah-sekolah KPM sememangnya tidak mampu dipertikaikan.
Antara peralatan yang telah dibekalkan di sekolah adalah peralatan robotik di sekolah-sekolah rendah dan juga mesin pembuatan berkomputer di sekolah menengah. Jika mengambilkira peruntukan yang telah dikeluarkan oleh kementerian mungkin puluhan juta telah diperuntukan. Selain dari itu bengkel-bengkel untuk kerja yang melibatkan kemahiran seperti bengkel rekacipta dan bengkel lain juga telah dipertingkatkan dengan peralatan yang lebih baik.
Bagaimanapun malangnya tidak semua peralatan yang dibekalkan ke sekolah-sekolah telah digunakan dengan sepenuhnya. Banyak peralatan yang sebenarnya boleh digunakan tetapi tiada yang berkemahiran untuk mengendalikannya. Di sinilah sebenarnya bermulanya masalah. Kementerian Pendidikan kalau kita lihat selama ini tidak pernah menguar-uarkan berkenaan peralatan canggih yang telah dibekalkan ke sekolah-sekolah. Perkara ini sepatutnya di ketahui ramai supaya para ibu bapa dapat mengetahui apakah yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan untuk kemajuan TVET dan STEM di sekolah anak mereka. Sekurang-kurangnya dengan penerangan yang diberikan dapat menghindar persepsi buruk terhadap TVET dan STEM di sekolah oleh ibu bapa dan rakyat Malaysia.
Seterusnya bagaimanakah caranya kementerian pendidikan mencari jalan untuk mengatasi lambakan teknologi yang menjadi gajah putih di sekolah-sekolah KPM? Jawapannya tidaklah mudah, bagaimanapun beberapa langkah boleh dilakukan sebagai langkah awal. Umum mengetahui bahawa kementerian pendidikan sebenarnya keluarga yang sangat besar dan jirannya adalah Kem Pengajian Tinggi yang juga pernah tinggal sebumbung bersama. Di bawah Kem Pengajian Tinggi mempunyai institusi pendidikan yang hebat terdiri dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti. Diantara tiga institusi tersebut dua daripadanya adalah diklasifikasikan sebagai institusi TVET iaitu politeknik dan kolej komuniti. Di negara ini ada lebih dari 30 buah politeknik dan lebih 100 buah kolej komuniti yang beroperasi. Daripada politeknik dan kolej komuniti ini ada beribu ahli teknologi dalam pelbagai bidang kemahiran yang berkaitan dengan TVET.
Secara mudahnya Kem Pendidikan sebenarnya boleh mendapatkan bantuan dari ribuan pakar pelbagai bidang TVET di politeknik dan kolej komuniti tanpa kos yang tinggi. Disamping itu aset kemanusiaan di dua institusi ini dapat digunakan sepenuhnya untuk membantu memajukan negara. Politeknik dan kolej komuniti mempunyai ribuan pakar pelbagai bidang seperti IT, robotik, pemesinan cnc, kimpalan, pemdawaiaan elektrik, elektronik, peraturcaraan komputer, kejuruteraan awam, binaan bangunan dan lain-lain lagi yang sudah tentu mempunyai senarai yang panjang jika ditulis. Cadangan ini bukan sesuatu yang mustahil lebih-lebih lagi sebenarnya KPM dan KPT asalnya dari keluarga yang sama.
Sekian
Ishak Bin Ibrahim
No comments:
Post a Comment